Pages

Friday, March 19, 2010

Untukmu Ratuku


Ratuku...

Ingin kuluahkan apa yang sudah lama ingin kuluahkan

Tentang kebimbanganku ini

Tatkala melihat bunga-bunga berguguran

Dipetik tangan-tangan yang ganas lagi bernafsu serakah


Ratuku...

Kebimbanganku ini masih menebal

Apabila kudengar dengungan kumbang perosak

Yang cuba menyedut madumu walau tanpa relamu


Ratuku...

Kebimbanganku bertambah lagi

Apabila kumelihat bunga yang tak segan silu

Melampiaskan kecantikannya

Ketika sedang mekar...

Melupakan kuntuman yang sebelum ini melindunginya


Ratuku...

Aku terpinga-pinga...

Masih wujudkah lagi ratu idaman hatiku?

Kerana apa yang kulihat hari ini...

Semakin banyak bunga-bunga gugur...

Bagaikan tibanya musim luruh...


Ratuku...

Bukanlah kuharap kau segigih Siti Hawa...

Yang berlari-lari antara safa dan marwa

Bukan juga sesetia Ainul Mardhiah...

Menanti kekasih di pintu syurga


Ratuku...

Kuakui hakikat yang tersurat

Engkau bukanlah Siti Khadijah mahupun Siti Fatimah...

Engkau bukan Aisyah...

Bukan juga Rabi’atul Adawiyah...

Wanita suci terpuji

Kerana...

Aku tidak layak berharap sedemikian rupa

Cukuplah sekadar kau cuba mencontohi bunga-bunga itu

Kembang mekar mewangi

Sehingga harumannya melewati pintu-pintu syurga


Jangan kau risau ratuku...

Kadangkala musim berganti

Sehingga bunga tidak dapat berkembang mekar

Tapi itu

Hanya ujian buatmu


Ratuku...

Esok musim bunga pasti akan tiba lagi...

Dan engkau akan mampu berkembang lagi

Cuma yang kuharapkan ketika itu

Kau jaga kelopakmu itu

Jangan sampai tangan-tangan kasar memetikmu lagi

Jangan goda kumbang-kumbang ganas menghisap madumu

Jangan biarkan gagak-gagak hitam itu merosakkan serimu

Kerana...

Kau ratu idaman kalbu


Ratuku...

Aku bukanlah memandang kecantikanmu

Walaupun kadangkali aku tertarik memandangnya

Tapi...

Bukan itu yang kuharapkan

Aku yakin ratuku

Masih ada sinar harapan

Yang bisa membuatku tersenyum lega

Kerana akan kutemui ratu...

Yang sebenar-benar ratu...