Pages

Friday, February 19, 2010

Beruntung Menjadi Wanita

Alangkah beruntungnya menjadi wanita. Wanita mendapat hak yang telah ditentukan. Malah dalam Islam wanita terbela, dihormati dan diberikan hak-hak tertentu serta peranan wanita terhadap kecemerlangan insan sentiasa diakui.

Jika dibandingkan dengan pemerintahan Yunani dan Rom, wanita pada zaman pemerintahan itu tidak pernah mendapat kedudukan dalam masyarakat. Mertabat wanita terlalu rendah sehingga wanita pada zaman itu dikurung di dalam rumah. Mereka tidak diberi hak untuk menuntut ilmu dan tidak berhak menerima pusaka. Lebih mendukacitakan, wanita boleh dihalau keluar dari rumah pada bila-bila masa sahaja tanpa sebrang pembelaan undang-undang.

Sulitnya menjadi wanita pada zaman itu tergambar melalui beberapa peralatan yang digunakan untuk mendera dan menghukum wanita yang membuat kesalahan. MasyaAllah, dahsyatya mereka memperlakukan kaum hawa, padahal kaum inilah yang telah melahirkan mereka. Tanpa kaum ini tidak mungkin manusia boleh berkembang biak.

Dalam kitab ‘suci’ orang Yahudi yang dipanggil “Talmud” menyebut, seorang bapa yang susah boleh menjual anak perempuannya bersama-sama kumpulan hamba bagi mengatasi kemiskinan. Lebih memilukan, lelaki Yahudi boleh melakukan apa sahaja kepada isterinya. Dia boleh menikmatinya seperti mana dia menikmati seketul daging yang dibeli di pasar, sama ada merendam, membakar atau melemparkan saja jika tidak disukai.

Beruntunglah wanita pada zaman kini apabila melalui Islam, martabat wanita diangkat ketempat yang sewajarnya. Dalam Al-Quran, telah diperuntukkan satu surah untuk kaum hawa yang dinamakan surah An-Nisa’ sebagai bukti wanita mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dalam Islam.

“Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang yang beramal daripada kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, kerana setengah kamu adalah keturunan daripada setengahnya yang lain”
(Ali Imran:195)

Hadis Nabi s.a.w pula meletakkan wanita pada kuasa terpuncak misalnya hadis yang berbunyi:
“Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu”


Jika ingin disebutkan bagaimana negara kita mengiktiraf wanita, kita boleh melihat kepada kedudukan yang pernah disandang oleh Datuk Dr Zeti Akhtar Aziz; Gabenor Bank Negara, Datuk Anum Mohd Said; Peguam Negara dan Datuk Mazlan Othman; seorang pakar astronomi. Kedudukan ini tidak ditemui jika kehidupan kuno masyarakat Yunani dan Rom masih diamalkan. Islam adalah agama yang bukan sahaja menyelamatkan wanita, malah mengangkat martabat wanita itu sendiri.

Dalam kedudukan yang sedemikian tinggi, masih ramai wanita yang terpenjara oleh perasaan banjir kerana ‘rasa tidak bahagia’. Mengapa mesti tidak bahagia sedangkan kalau agama telah diletakkan tempat pertama andalah makhluk paling super sebab anda adalah ibu, isteri dan anak kepada lelaki. Hanya wanita yang boleh menjadi tiga dalam satu, tidak bagi lelaki.


Buat wanita satu pesanan buat renungan:

"Dunia ini penuh ranjau dan dugaan... Dunia ini penuh tipu daya dan syaitan... Janganlah kalian lalai tanpa tujuan kerana dunia yang indah ini adalah persinggahan sementara untuk insan...dunia yang indah ini adalah ujian..."