Pages

Tuesday, April 27, 2010

MaRILaH KiTA RenUNg SeJEnaK

Sahabatku....dulu, semalam dan hari ini...kau melihat generasi demi generasi menghancurkan kehidupan mereka dengan mengingkari Allah. Lalu kau tunduk kebuntuan dan kesedihan...Kau benar-benar kebingungan dan bertanya :-

Apa yang harus aku lakukan untuk menebus kelelahan umat ini? Jawabku bukankah kau seorang da’i @ mujahid?? Katamu lagi :- tapi langkahku lambat...Jawabku kau lambat kerana kau sendiri sibuk dengan urusan duniamu...mengejar impianmu dan lupa pada hari kebangkitan...


Pada hari itu amalanmu terbentang dan tubuhmu terbuka ...Apakah di sana ada bekalan mu??? Pada akhir zaman, orang yang memegang tali perjuangan ibarat menggengam bara api, andai terus digenggam, hancur luluhlah jiwanya. Namun, andai dilepaskan hancurlah dunia. Jangan takut untuk berjuang kerana orang berjuang memang dirintangi dengan ujian. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang bersabar...Kita hidup untuk perjuangan ...mati untuk kehidupan, syurga impian

(Imam Nawawi)

Tuesday, April 13, 2010

PENGORBANAN PADA AGAMA

Pengorbanan kepada Agama.
Bila diimbau kenang, di manakah selayaknya aku di tempatkan? Tekadang, agama-MU ku abaikan demi kebahagiaan dunia. Adakalanya, perintah-MU aku kesampingkan semata terdorong dengan ikutan hawa nafsuku. Lantas di manakah pengorbananku untuk agama-MU?
Ya ALLAH, seandainya Muhammad s.a.w. itu bersusah payah membina Islam, aku sewenangnya mencerai-beraikan agama yang dikendong itu. Aku menjual agama, aku menghina agama, aku ingkar akan suruhan agama. Tuhan, aku sedar betapa para sahabat dan tabien bersusah payah membawa Islam sehingga kini nikmat itu mampu ku kecapi.
Itulah pengorbanan, kepayahan sudah menjadi mainan, keseksaan sudah sebati dalam jiwa dek kerana Agama yang ingin dipertahankan. Itulah pengorbanan Bilal bin Rabbah, sanggup bertahan walau dihimpit batu di dadanya. Itulah pengorbanan AL Yaasir, keluarganya dibunuh di hadapan mata kepalanya sendiri. Itulah pengorbanan Muhammad s.a.w. dilontar dengan batu-batuan saat baginda menjejaki kaki ke kota Thaif. Lalu, pengorbanan ku kepada agama di mana?

Nilai Pengorbanan di sisi Allah
Ya ALLAH, korban ku terlalu sedikit untuk dinilai oleh-MU, abaiku pada agama, jauhku pada titah perintah-MU, dosa ku pada ayahbonda membuktikan aku belum bersedia untuk menunai setia dan menghulurkan korban. Aku semahunya terlalu malu. Kerana jahilku, kerana sikapku, kerana lalaiku, dan kerana lemahku aku tidak sanggup untuk berkorban lantas jauh sekali untuk menghadiahkan ikhlas.
Ya ALLAH, aku di sisi-MU terlalu kerdil. Nilai korban ku bukanlah korban sejati kerana hati ini terlalu kotor, namun aku berusaha untuk berkorban apa yang termampu dengan apa yang terbaik, untuk ibu bapa, untuk agama, jua untuk agama-MU.

WANITA VS PEREMPUAN VS GADIS

Perempuan, Wanita dan Muslimah. Sinonimnya kata-kata itu mengibaratkan seorang yang luhur disertakan dengan kelembutan yang berhias di samping diri mereka, lalu keindahan hiasan itu menjadikan perempuan atau wanita itu dianggap lambang kesopanan, ketertiban, keanggunan, kejiwaan serta semua sifat-sifat kewanitaan, ada juga yang menyebut ciptaan mulia dan cantik ini sebagai jatidiri dan nilai ketimuran.

Perempuan,

Sikapnya sering menjadi tarikan kerana kelembutan yang dipelihara, juga kerana tingkah lakunya yang berhalus, dan yang lebih dipandang mulia adalah kerana adab yang disulamkan dengan kepelbagaian akhlak yang molek serta cantik dipandang mata. Oleh kerana itu, wanita atau perempuan yang baik-baik ini senantiasa menjadi rebutan sang kumbang. Kata hati seorang lelaki: biarlah si fulan (wanita) itu ilmunya tidak setinggi mana sekalipun, yang mahunya adalah akhlak dan budinya yang baik. Maka benarlah isi hati lelaki tadi, wanita yang baik walaupun tiada paras rupa yang cantik dan kurang ketinggian ilmu lebih dipandang, saya peribadinya amat bersepakat!

Wanita,

Lalu, mana-mana wanita menjadi lega hati gugupnya, bila si laki-laki memberi jaminan demikian. Maka berlumba-lumbalah para wanita memelihara kelembutan seorang wanita, kehalusan seorang yang bergelar dan lazim dipandang lembut serta mulus, sehingga ada yang buat-buat baik dengan memasukkan nilai luhur itu, ada juga setengahnya yang lebih bertegas, menolak segala sikap kekerasan dalam diri wanita semata-mata mahu menjaga nilai kelembutan seorang wanita di mata seorang lelaki. Akhirnya, itu tak boleh, ini pun tak boleh, semua tidak boleh. Mengapa? Kerana nanti malu dipandang oleh lelaki dan dicop sebagai wanita over, poyo dan tak tahu malu.

Lantas saya menolak tanggapan itu sebulat-bulatnya.


MALU PUN ADA, TAPI PADA TEMPATNYA

‘ana ingat nak minta ustazah saja yang berikan ucapan alu-aluan malam ini, baru nampak kelainan sedikit dalam majlis kita’

‘oh ya! Ana rasa muslimin lebih elok berucap, lagipun tak sesuai pula kalau muslimat ke depan’

Ini jawapan atau alasan saya tidak tahu dan kurang arifnya. Cuma yang saya pastikan, ada sedikit dalih.

‘ana dah cuba betulkan LCD ni tadi tapi tak bernyala juga, apa kata ustazah cuba pula. kalau boleh segera ya, majlis nak mula sekejap lagi’

‘ana malulah ustaz, ramai sangat muslimin di depan tu, ustaz sajalah yang betulkan. Majlis mula lewat sikit pun tak apa’

Kalau bukan jawapan, dalih atau hujah apa ya? Alasan pun bukan juga, mungkin juga saya kira mereka mahu menjaga nilai kelembutan seorang wanita dan tidak mahu dilabel sebagai muslimah yang tidak tahu malu. Iyalah, wanita ini kerjanya di belakang, kenapa tiba-tiba sahaja beria mahu ke hadapan? Tak tahu malukah? Saya tidak kata begitu, tapi kata-kata itu dilontar oleh seorang wanita juga.

Oh ya! Kalau muslimat itu kerjanya di hadapan dan tiba-tiba menggantikan tugas yang lazimnya dibuat oleh seorang lelaki mereka akan digelar tak tahu malu, poyo dan over? Minta beri ucapan, tak boleh! Nanti bimbang orang akan berkata itu dan ini. Lagipun kami ini golongan hawa, perlu menjaga malu berbanding muslimin. Lalu, malu yang macam inikah yang patut ada pada muslimah? Malu untuk ke hadapan? Malu untuk berbuat kebaikkan?
‘Saya amat kagum dengan mahasiswa-mahasiswa di Malaysia yang walaupun bukan bertitle agama dan bukan daripada jurusan agama, juga tidak memegang title ustazah ini berani ke hadapan khalayak waimah di depan lelaki sekalipun. Lantang bersuara menyatakan ketidakpuasan hati pada jalan yang betul. Dalam demontrasi jalanan, siswi yang tidak bergelar ustazah inilah yang mengepalai barisan dan sorak-sorak bersemangat. Namun, yang bergelar ustazah cuma menjadi penyambut sorak dan takbir yang menyorok di belakang sepanduk-sepanduk. Kecil dan tawadhu’ kalau dilihat dari jauh’

Malu! katanya bila ditanya.


Saya bukan mahu memburukkan mana-mana muslimah, tetapi gejala buat-buat malu dan hipokrit seperti ini sudah lali, muak dan jelek dilihat. Di kampus, apabila berjalan dan bertembung dengan muslimin, mukanya akan ditundukkan ke bawah, lembut gemalainya mengalahkan bidadari dari syurga, sopan saja mengatur susun langkahnya, kalau ada jalan atau susur laluan yang lain, sebolehnya tidak mahu melalui jalan yang dilalui oleh muslimin, oh dasyatnya? Tetapi, apabila di luar kampus? Dialah heroin! Menegur orang lelaki tidak kira tempat, gelak-tawa dialah yang paling tinggi melodi suaranya, bersembang pula dialah yang paling banyak komen dan umpat keji. Namun bila di suruh ke hadapan? Oh tidak boleh, kami sebagai wanita mesti dipelihara malu itu.

Kenapakah begitu wahai para Muslimah?

Saya mahu simpulkan ini dalam beberapa perkara. Yang pertamanya mungkin kerana muslimah sudah hilang ‘KEYAKINAN DIRI’ sedikit demi sedikit untuk membuat kerja-kerja yang sepatutnya boleh dilakukan oleh mereka. Menganggap diri sebagai ciptaan tuhan yang terlalu lemah adalah alasan dan sebab muslimah akan kehilangan daya itu, lantas terhakis dibuang jauh dan dimasukkan pula sikap malu yang kadang-kadang tidak kena pada tempanya. Saya amat yakin bahawa muslimah ini seorang yang kuat jiwa keperempuanannya dan mampu melakukan apa saja aktiviti yang dilakukan oleh seorang lelaki sekiranya ia tidak bertentangan dengan landasan syarak. Janganlah merasa terlalu rendah diri dengan title seorang wanita yang masih menggaggap diri mereka lemah dan pemalu.


KAGUM DENGAN SIKAP BERANI

Wahai muslimah, andai kenal siapakah orang yang lantang bersuara di kalangan perempuan Islam di zaman Nabi saw dahulu? Ingat lagi pada Saidatina Aisyah? Dia bukan sahaja lantang bersuara di hadapan lelaki mahupun wanita, bahkan menjadi tempat rujukan terkemuka di zaman itu dari segala permasalahan-permasalahan agama. Saya sejujurnya mahu melihat muslimah seperti itu di hadapan mata saya, namun belum lagi ditemui.

Saya amat kagum dengan mahasiswa-mahasiswa di Malaysia yang walaupun bukan bertitle agama dan bukan daripada jurusan agama, juga tidak memegang title ustazah ini berani ke hadapan khalayak waimah di depan lelaki sekalipun. Lantang bersuara menyatakan ketidakpuasan hati pada jalan yang betul. Dalam demontrasi jalanan, siswi yang tidak bergelar ustazah inilah yang mengepalai barisan dan sorak-sorak bersemangat. Namun, yang bergelar ustazah cuma menjadi penyambut sorak dan takbir yang menyorok di belakang sepanduk-sepanduk. Kecil dan tawadhu’ kalau dilihat dari jauh.

Malu! katanya bila ditanya.


LANTANG TAPI PENAKUT?

Ada juga muslimat yang berani, tapi beraninya di kalangan kelompok mereka sahaja. Hujah mereka yang berjela-jela dan mantap itu hanya berlangsung ketika di belakang muslimin sahaja, namun perbahasannya masih tertutup dalam kongkongan tempurungnya, dengan erti kata lain, hanya bercakap dan pandai memberi kritikan sesama rakan-rakan seusrah atau lebih besar sedikit ketika usrah gabungan. saya pasti orang-orang ini bila di suruh ke hadapan dialah yang mula-mula melarikan muka agar jangan dipilih.
Lantang bersuara biarlah di tengah-tengah khalayak ramai, agar semua tahu apa kebenaran yang mahu kita sampaikan. Lantang di belakang apa gunanya? Tak akan masih mahu mengharapkan muslimin juga? Sampai bila muslimat tidak akan berani.


MUSLIMIN YANG TIDAK MENDORONG DAN PASIF

Muslimin pun terlibatkah?

Sepatutnya, musliminlah yang menjadi pendorong semangat kepada para jelitawan muslimah agar mereka mampu terkehadapan dan berani. Memberi peransang dan peluang untuk muslimat bercakap serta ruang mengemukakan pandangan dalam apa jua apsek tindakan yang memerlukan buah fikiran daripada muslimat, bukannya memberi kata pelemah atau terus ‘kondem’ dengan pendapat daripada muslimat. Ini bukan daya penaik atau pembimbing tetapi pelemah semangat.

Saya tahu mengapa lelaki kuat dan lazim benar bersikap begini terhadap muslimat, tidak lain dan tidak bukan kerana terlalu ego untuk menerima pandangan muslimat. Ustaz-ustaz tidak mahu idea para muslimat yang bernas lagi matang itu mengatasi idea-idea mereka, ini akan menjatuhkan air muka lelaki, kata mereka. Lelaki pula, apabila melihat muslimat menggugat kredibiliti mereka, apalagi mulalah mereka menyekat dan kondem bulat-bulat suara di kalangan muslimat. Langsungnya muslimin terus dengan keegoannya dan muslimah bersama sikap kelesuan dan sifat malu angkara sikap muslimin yang tidak langsung mahu memberi peluang dan menyekat pandangan mereka.

Tidak kiralah di mana, ketika mesyuarat atau apa-apa sesi muhasabah sekalipun, apabila mula melihat seorang muslimat itu kerap kali bangun memberi komen juga terlebih dari sudut idea dan buah fikirannya, ustaz-ustaz sudah mula tidak boleh duduk diam, punggungnya agak kepanasan, dalam hati mula melalut berkata dan menganggap yang bukan-bukan pada muslimat: 'muslimat poyo! cakap sahaja berjela-jela, tapi tak serupa bikin!'

Muslimin, tolonglah jangan bersikap begitu ya! Terimalah keterbukaan dalam menerima apa jua idea, sekalipun dia seorang wanita.

Muslimat pula, jadilah seorang yang berani dalam perkara kebaikkan sekalipun anda duduk di sekitar khalayak yang ramainya melebihi lelaki di sekeliling. Buangkan malu tidak bertempat itu.

Akhirnya, muslimat, wanita dan perempuan perlulah segera sedar agar kepentingan untuk menempatkan kedudukan muslimah di hadapan adalah rasional yang amat-amat penting dan perlu diutamakan ketika ini. Kita dicabar oleh wanita-wanita non-muslim yang lantang bersuara, walaupun apa yang mereka perjuangkan itu belum tahu asas kebenarannya. Lantas kita sebagai muslimah, wanita dan perempuan yang beragama ISLAM perlu gah dan tidak perlu malu untuk ke hadapan bagi menyatakan apa yang sepatunya dibenarkan. Biarlah status kita sebagai muslimah yang sinonim dengan kelemahan budi dan akhlak tetapi kuat jiwanya, siapa tahu muslimah inilah sebagai penggugat dan penyambung kekuatan muslimin suatu hari nanti. Sebab itulah ada pepatah yang menyebut: ‘TANGAN WANITA YANG LEMBUT BISA MENGGONGCANGKAN ISI DUNIA’

Muslimah, jadikan kata-kata itu sebagai penguat semangat dan pendorong yang mampu merubah masa depan anda kepada seorang yang malunya bertempat dan berani pada menyatakan yang hak. Muslimah yang kuat dan berani adalah muslimah yang malunya dipelihara dan kental jiwa raganya. Malu kerana menjaga maruah dan berani juga kerana mahu mendaulatkan maruah.
Muslimah, buktikan!

justeru itu, adakah...

Justeru itu....

Adakah anda seorang muslimah yang mahu digelar pasif juga pengecut? Biarlah kita dikatakan over tetapi kita terus dengan prinsip untuk menjulang martabat muslimah dengan cara merealisasikannya dalam gerak kerja.

Anda pula bagaimana? Bersetuju?

KUNJUNGAN PENGERUSI HELWANI KE PEJABAT TNCA

9 April 2010 JAM 1815-1940 Jumaat..
Kunjungan Pengerusi HELWANI bersama Mantan Pengerusi HELWANI semester lepas ke pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa. Temubual berkisarkan hala tuju HELWANI, pandangan dan pendapat tentang siswi di UPM. Datin Noor Aini menyambut baik usaha HELWANI dalam membantu mahasiswi di Kampus UPM ini. Memandangkan HELWANI baharu sahaja untuk mengorak langkah ke depan, jadi banyak lagi yang perlu diperbaiki. Pandangan daripada Datin akan dipandang serius oleh squad HELWANI untuk kami gerakkan HELWANI supaya lebih unggul pada masa akan datang. Melihatkan ramai lagi pihak yang keliru tentang organisasi PMI dan HELWANI. Di sini diberitahukan bahawa HELWANI adalah tulang belakang PMI. HELWANI lebih berfokus kepada masalah-masalah berkaitan siswi, program-program yang melibatkan siswi di UPM. Organisasinya terdiri daripada Ahli Majlis Tertinggi HELWANI dalam PMI, unit media dan penerbitan, unit program, dan seluruh siswi di UPM merupakan ahli HELWANI secara automatiknya. Antara pandangan yang dilontarkan oleh datin adalah HELWANI memerlukan kerjasama dengan MPPUPM, unit kaunseling UPM, dan link dengan mereka yang boleh memberi kerjasama dengan HELWANI. Tambah beliau lagi HELWANI boleh melakar sejarah sekiranya 1 atau 2 program yang dilaksanakan memberi impak yang besar kepada siswi UPM. Tidak perlu untuk melaksanakan banyak program sedangkan impaknya sedikit kepada pelajar. Datin juga bercerita pengalaman beliau sendiri di mana mereka yang ingin merubah orang lain, tidak boleh fokus secara persepsi yang negatif terhadap diri seseorang itu, dan dalam menegur orang untuk berbuat baik perlulah tidak mengena kepada batang hidung orang itu dan sepatutnya teguran itu biarlah kepada keseluruhan orang yang berada di situ. Jika tidak orang yang hendak berubah pun akan lari jika gaya ajakan kita kepada mad’u yang sebegitu. Sedikit perkongsian ilmu bagi datin yang sibuk dengan kerjaya dan bagaimana beliau menguruskan rumahtangganya. Memiliki 5 orang cahaya yang semuanya cemerlang dalam kerjaya mereka. Masa bersama family adalah pada hujung tahun bulan 12. Inilah masa yang ada untuk dihabiskan bersama-sama keluarga. Yang pasti pengurusan masa, gaya kaedah belajar yang berkesan boleh membawa kita kepada kecemerlangan.Di akhir perbincangan itu, datin menunjukkan pencapaian beliau sehingga ke peringkat antarabangsa iaitu penghasilan vaksin bagi kesihatan ayam dan sekarang sudah dikilangkan dalam dan luar negara. Terima Kasih Datin kerana sudi menerima kunjungan dari kami


PENGERUSI HELWANI UPM
Norkhizan bt Md.Yusof
Bac.Pendidikan Sains Pertanian

DIALOG ANTARA AGAMA


Merupakan satu kupasan isu yang menarik berkenaan isu-isu wanita dan kanak-kanak. Dimanakah silapnya? Menurut pandangan Islam, Buddha dan Kristian. Setiapnya mempunyai pandangan tersendiri mengikut kepercayaan masing-masing. Sebenarnya apa-apa yang dinyatakan semuanya sudah tercatat dalam kalamullah dan hadith. Siapakah kita untuk mempertikaikan setiap perlembagaan yang telah Allah syariatkan kepada kita sebagai panduan dan pedoman untuk kita kemudi kehidupan kita di dunia mahupun akhirat. Topik yang dibincangkan berkenaan institusi kekeluargaan termasuk kes penderaan kanak-kanak dan wanita, kes pembuangan bayi dan termasuklah gejala sosial yang semakin meruncing sekarang. Semua agama menekankan akhlak yang baik kepada setiap agamanya. Mereka mengakui minum arak berjudi dan sebagainya adalah punca kepada keruntuhan sesebuah rumahtangga. Setiap agama juga meminta semua penganutnya meninggalkan perkara yang tidak baik yang merosakkan diri sendiri dan orang lain. Menyentuh kepada sistem pendidikan kita dimanakah silapnya. Sistem pendidikan kita hanya banyaknya pengajaran bukan pendidikan. Kita perlu faham, apabila guru yang ditugaskan mengajar akan masuk kelas dengan niat awalnya ingin menghabiskan rancangan pengajaran yang akan diajarkan pada hari itu. Jarang sekali guru setiap matapelajaran yang mengajar tetapi diselitkan dengan memberi sedikit pengisian, yang mana kata-kata nasihat yang boleh menyedarkan mereka tentang bahaya kepada keseronokan dunia. Seperti mana kata Dr Mat Rofa, masyarakat yang lahir dari sistem pendidikan kita banyak yang bijak dari segi intelektualnya tetapi kurang dari segi adab. Lahirlah arkitek yang mana bangunan yang dicipta akan runtuh, lahirnya pegawai tetapi pegawai yang menerima rasuah dan saebagainya. Sebenarnya sedikit sebanyak sistem pendidikan kita juga menyumbang kepada salah laku masyarakat sekarang. Seperti kes buang bayi yang sudah teruk sekarang. Negara ni juga dengan senang lenang memberi kuasa kepada rumah menggugurkan bayi kepada sesiapa sahaja yang ingin menggugurkan bayi. Kita sudah kurang nilai dari segi kemanusiaan. Kita sudah kembali kepada zaman jahiliah yang mana zaman ini lebih teruk daripada zaman jahiliah. Zaman jahiliah memilih anak lelaki atau anak perempuan yang akan dibunuh tetapi sekarang sama sahaja anak lelaki atau anak perempuan semuanya dikorbankan di bawah titi, di dalam tandas, di tempat bakar sampah dan sebagainya. Kata Dr Mat Rofa lagi, kita jangan fikir kepada masalah tetapi kita perlu menyelesaikan masalah ini dengan menyelesaikan punca akar yang menyebabkan perkara ini berlaku. Kita tidak boleh memotong lalang dengan membuang pada sebahagian atasnya sahaja tetapi perlu melihat bahawa akar itu yang akan merebak dan menumbuhkan semula anak-anak yang baru. Seperti orang sakit kepala bukan panadol yang menjadi penawarnya tetapi membayar semula hutang kad kredit yang boleh menyelesaikan masalah sakit kepalanya. Begitulah kita petik di sini hukuman sebat kartika di tukar kepada khidmat masyarakat. Anda nilailah sendiri pada hari ini pun meneguk air arak seperti meneguk air teh. Begitulah kalau perlembagaan yang telah tersurat dalam Al-Quran dan hadith tetapi ditukar dengan perlembagaan manusia kita lihatlah natijahnya nanti.

                                                                        PENGERUSI HELWANI-UPM
                                                                            NORKHIZAN MD YUSOF

Friday, April 2, 2010

Kartika Tidak Sangka Hukuman Diubah


KUALA LUMPUR, 1 April — Bekas model sambilan Kartika Sari Dewi Sukarno lebih rela jika dia dibolehkan menjalani hukuman sebatan berbanding kerja-kerja khidmat masyarakat.

Bagaimanapun kata Kartika (gambar), dia menerima keputusan tersebut kerana ia adalah titah perintah Sultan Pahang dan selaku rakyat dia wajar menerima junjung titah terbabit.

“Dalam undang-undang tidak dinyatakan hukuman sebat boleh digantikan dengan kerja-kerja khidmat masyarakat tetapi oleh kerana ini titah perintah Sultan Pahang, saya terima junjung titah ini.

“Tetapi secara individu saya lebih rela menerima hukuman sebat kerana tidak mahu undang-undang Islam difitnah sekiranya ia tidak dilaksanakan.

“Saya menghormati undang-undang sedia ada tetapi saya harap selepas ini prosedur terhadap individu yang terbabit dalam kesalahan meminum arak akan lebih teratur dan sistematik.

“Ini kerana saya bimbang sekiranya masih ada kesalahan sama yang membabitkan wanita, mereka terpaksa menunggu lama untuk menerima hukuman,” katanya ketika ditemui di Hentian Duta di sini, hari ini.

Dia dalam perjalanan ke Kuantan untuk menemui pihak berkuasa agama Pahang esok.

Kartika berkata, walaupun hukuman diringankan kepada kerja-kerja khidmat masyarakat namun banyak pengajaran diperoleh terutamnya kepada diri sendiri.

“Sepanjang tempoh menanti hukuman saya memang tertekan, saya bersyukur kerana ibubapa dan keluarga sentiasa berada dibelakang untuk memberikan sokongan.

“Jadi saya harap ia akan menjadi pengajaran bukan sahaja kepada saya tetapi juga masyarakat khususnya umat Islam,” katanya.

Kartika diperintah menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat di Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan.

“Perasaan saya sekarang bercampur-campur sekarang kerana saya tidak menyangka hukuman sebat akan digantikan dengan kerja-kerja khidmat masyarakat.

“Saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka dan saya akan melaluinya dengan hari yang tenang dan ikhlas.

“Selain itu, saya juga kesal dengan kesalahan meminum arak sebelum dan sepanjang tempoh menanti hukuman ini bermacam-macam cabaran serta dugaan terpaksa ditempuh,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tempoh tiga minggu menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dua orang anaknya, Muhammad Azfar Affandi, 8, dan Wan Katlyan Saridewi Affandi, 6, akan dijaga oleh keluarga.

“Saya beritahu kepada anak-anak yang saya pergi bekerja, jadi mereka akan dijaga oleh keluarga,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Sukarno Abdul Mutalib berkata, beliau berasa bersyukur apabila hukuman enam sebatan akan digantikan dengan kerja-kerja khidmat masyarakat.

“Saya memang terkejut apabila mendapat tahu hukuman sebatan digantikan dengan kerja khidmat masyarakat tetapi ini adalah titah Tuanku Sultan jadi beliau (Kartika) perlu menerimanya.

“Cuma apa yang membimbangkan adalah sekiranya perkara ini dibangkitkan lagi pada masa hadapan kerana saya lihat ada ruang untuk ia dipertikaikan.

“Namun saya harap ia dapat selesai supaya selepas ini Kartika dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenteram bersama anak-anaknya,” katanya.