Pages

Friday, February 4, 2011

Adakah Islam Mendriminasikan Wanita..peranan kita dalam memahamkan Islam kepada org lain. Jgn biarkan golongan sosialis menanamkan dakyah yg tidak betul mengikut syariat Islam..ayuh sama2 lh kita dalam memartabatkan Islam sebagai agama yg syumul dan adil dalam segenap segi.


Ketika terkuak jendela, fajar Islam terbit membebaskan belenggu kejahilan di kalangan manusia.
Hadir gah menghapuskan segala bentuk perkara kesyirikan, penyembahan Latta Uzza (patung sembahan), penindasan kepada kaum wanita dan pelbagai kesesatan lain bermula sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar urusan pemerintahan.
Ingatkah kita kisah Saidina Umar r.a di zaman Jahiliyyahnya? Akhirnya beliau sujud taubat tenggelam dalam linangan penyelesan tak terhingga.
Setelah sekian lama Islam berjaya membersihkan karat-karat kefasidan, kini muncul lagi slogan-slogan indah menari-nari di minda para wanita Islam. Penubuhan SIS pada 1988 dilihat antara usaha-usaha memartabatkan kembali slogan itu. Feminisme, Liberal, kebebasan, kesamarataan.  Untuk apa idea itu?





Objektif utama kami (SIS) adalah:
* Menegak dan membangunkan satu kerangka hak-hak wanita dalam Islam yang mengambil kira pengalaman dan realiti wanita;
* Menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita dengan mengubah amalan-amalan serta nilai-nilai yang menganggap bahawa taraf wanita adalah lebih rendah daripada lelaki; dan
* Membina kesedaran awam dan memperbaharui undang-undang serta dasar-dasar mengenai kesaksamaan, keadilan, kebebasan, martabat dan demokrasi dalam Islam.

Filem ‘Perempuan Berkalung Sorban’ (Woman With A Turban)
Melihat tajuknya sahaja sudah jelas menampakkan makna tersirat. Serban adalah pakaian bagi kaum lelaki mengikut adat kebiasaan masyarakat arab lalu ianya menjadi sunnah Rasulullah SAW. Bahkan ia juga menjadi pakaian bagi ulama’ dulu dan kini. Apa yang kita boleh tafsirkan jika wanita yang memakai serban di kepalanya?
Menonton filem itu di awal babak sudah membuatkan jiwa tersentak. Babak bagaimana si gadis kecil bernama Anissa memberontak di hadapan ayahnya agar dia dapat bersama-sama abang menunggang kuda.
“Kenapa nisa ngak boleh?” Tanya Anissa sewaktu sedang makan malam bersama keluarga.
“Kerana kamu itu perempuan..” Jawab abangnya.
“Puteri budur..mereka perempuan, mereka naik kuda sama memimpin pasukan..”
“Berarti mereka juga ngak pantas..”
“Mereka bukan anak abi..” Jawab Ayah gadis itu lalu menepuk meja makan.
Begitu juga babak yang berlaku ketika sessi pemilihan ketua kelas di antara Anissa dan Farid (Ternyata nama penulis juga tiba-tiba termasuk dalam senarai. Saya senyum sahaja kali ini). Lalu akhirnya guru kelas memilih Farid sebagai ketua kelas beralasankan lelaki pemimpin kaum wanita. Kesannya menyebabkan Anissa terus memendam rasa yang mendalam.
Adegan lain yang boleh menimbulkan kontroversi ialah perbualan Anissa ketika bersama rakannya membasuh kain di tepi sungai.
“Islam ngak adil sama perempuan!” Kata Anissa tambah rasa bersalah selepas kecewa dengan pengajaran Pak Kiyai.
Jalan cerita filem itu mengisahkan kehidupan di sebuah pusat pengajian pondok (pesantren) dan situasi-situasi yang berlaku di dalamnya melalui penyampaian daripada babak ke babak.
Mesej Filem
Setelah menonton filem tersebut, saya dapat rumuskan beberapa perkara mengenai mesej yang hendak disampaikan. Mari kita teliti satu persatu-satu:


1.Sekolah Pondok Islam (Pesantren) mengongkong kebebasan.
Meletakkan Institusi pusat pengajian Islam sebagai sebuah tempat menyekat kebebesan adalah suatu tindakan yang tidak wajar. Gambaran sebegini menunjukkan kepada penonton bahawa Islam adalah agama yang sempit dan tidak memberikan layanan adil kepada kaum wanita sehinggakan muncul fahaman feminisme. Justeru, golongan yang memperjuangkan fahaman feminisme terus mencucuk jarum tajam dan menghukum Islam adalah agama penindasan dan zalim.
Ia dilihat seolah-olah wanita telah terpenjara dengan Islam.
Akibat dari kesan kecil ini, golongan tersebut lalu membawa fitnah lebih besar dan berani sehingga menuntut sebuah kebebasan yang tidak masuk akal. Bahkan mahu sama taraf pula dengan kaum lelaki dalam semua hal serta tidak melihat sebagai fitrah manusiawi sebagai landasan. Licik bukan propagandanya?

2.Wanita tidak boleh jadi pemimpin?
Saya mengakui di dalam agama Islam tidak semua perkara kaum wanita boleh melakukannya seiring lelaki. Namun tidaklah bermakna itu adalah suatu kongkongan hebat ke atas wanita. Islam hadir meletakkan fitrah wanita di dalam landasan sebenar. Ini bukanlah atas bersifat kokongan. Tetapi lebih kepada didikan berbentuk pengawasan, penjagaan dan kasih sayang.
Islam sememangnya tidak menganjurkan wanita menjadi ketua negara ataupun Khalifah di dalam empayar Islam atas sebab-sebab tertentu. Walaupun begitu, Islam tidaklah begitu sempit sehinggakan selama-lamanya wanita itu tidak boleh menjadi pemimpin. Dipersilakan wanita menjadi pemimpin untuk kaum hawa dan hal ehwal wanita. Kerana itu lebih dekat dengan hati-hati mereka malah bersesuaian dengan fitrah wanita yang fikirannya ada kehebatan tersendiri. Firman Allah SWT bermaksud:
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)..” (An-Nisa’: 34)
Di dalam kitab Fatawa Wa Ahkam Lil Mar’aatil Muslimah oleh Syeikh Athiah Saqr ada menyebut hal berkenaan masalah ini. Beliau menyatakan bahawa tidak harus bagi wanita menjadi pemimpin dalam wilayah umum samaada menjadi ketua negara, Presiden, Perdana Menteri dan sebagainya.
Menurut padangan Jumhur ulama’ di kalangan Malikiah, Syafie’yyah dan Imam Hanbali sesungguhnya tidak harus wanita menjawat jawatan dalam perundangan berdasarkan dalil hadis baginda SAW bermaksud:
Dikeluarkan oleh Bukhari, Ahmad, Nasaie’, Tarmizi daripada Abi Bukrah: Kata Rasulullah SAW: “Tidak berjaya sesuatu kaum sekiranya wanita menjadi pemimpin di kalangan mereka”
Kepada mereka yang masih memperjuangkan hak ini saya syorkan mereka ‘panjat pokok kelapa’ dulu dan tinggalkan aktiviti beranak, mengandung dan menyusu anak agar setanding lelaki.

3. ‘Dating’ dan berdua-duaan lelaki wanita.
Filem ini seolah-olah mengenepikan soal berduan-duan antara lelaki dan wanita samaada di tempat sunyi seperti kandang kuda, ataupun pantai yang terbuka. Walaupun hakikatnya ia adalah sebuah lakonan tetapi kesan kepada penonton memperlihatkan unsur negatif. Tambahan pula terdapat satu adegan yang mana Anissa mengajak bekas kekasihnya supaya melakukan zina dan mendedahkan aurat. Adakah ini sesuatu yang baik?
“Aku sudah berkali-kali istighfar tetapi Tuhan tidak pernah dengar Istighfar aku.” Kata-kata Anissa di dalam kandang kuda seakan-akan mempersendakan agama.

4. Jima’ yang ganas.
Islam menggalakkan umatnya berkahwin antara lain agar landasan menyalurkan fitrah naluri bersama antara lelaki dan wanita itu diberikan secara betul berdasarkan kasih sayang dan nilai hubungan yang baik. Tidak hanya mementingkan kepuasan dan layanan sebelah pihak semata-mata.
Apa yang ditonjolkan oleh filem ini ialah keganasan dan kekasaran dalam melayan si isteri terutamanya ketika mahu bersama. Sedangkan lelaki itu berwatak seorang yang terpelajar dalam agama serta tahu hukum hakamnya. Jadi, mesej apakah yang mahu disampaikan oleh mereka yang membuat filem?

5. Ketidakadilan dalam poligami.
Selepas sahaja berlaku keganasan seks dalam rumah tangga, maka si lelaki yang kononnya beragama melakukan poligami pula. Alasan yang sangat dangkal! Mahukan kepuasan seks semata-mata kerana Isteri tidak memberikan layanan.
Lalu apabila berlaku poligami, si suami pula tidak berlaku adil kepada isteri yang pertama. Nah, di sinilah antara lubang untuk golongan SIS dan Feminisme mengambil kesempatan merosakkan erti poligami sebenar. Walhal sunnah Rasulullah SAW membenarkan berpoligami sekiranya berlaku adil antara kesemua isteri yang dikahwini lelaki itu.
Suatu tamparan hebat hinggap di emosi-emosi kaum wanita dan akhirnya berjaya melabelkan poligami tidak wajar! monogami digalakkan!

6. Wanita tidak boleh belajar setaraf lelaki.
Hujjah dangkal apakah yang diguna pakai mengatakan Islam tidak memberikan ruang untuk kaum wanita belajar? Belajarlah asalkan tidak melanggar syariat dan tidak menyalahgunakan ilmu untuk mencabar agama sendiri.

7. Hukuman Hudud dan Rejam yang salah.
Setelah Anissa dan Alek ditangkap kerana tuduhan berzina, langsung hukuman rejam mahu dilaksanakan ke atas kedua-dua mereka tanpa bukti, 4 orang saksi dan penyiasatan terperinci.
Watak Anissa ketika itu ialah seorang wanita janda, manakala Alek lelaki yang masih bujang. Di dalam kaedah hukuman hudud, lelaki atau wanita yang belum berkahwin jika benar dia berzina maka hukuman 100 kali sebatan dan buang daerah akan dilaksanakan.
Bukan rejam.
Rejam sehingga mati adalah disabitkan bagi mereka yang sudah berkahwin dan berzina. Itupun setelah selesai penyiasatan rapi dan bukti yang kukuh atas dakwaan. Hudud bukan undang-undang yang tahu berhukum tanpa penghakiman detail.

8. Tidak boleh menulis.
Sebagaimana yang saya jelaskan, Islam sama sekali tidak melarang kaum wanita menulis atau terjun dalam apa jua bidang yang sesuai mengikut syariat asalkan ianya tidak melanggar fitrah dan agama.
Silalah sampaikan apa jua idea, pandangan, tulisan agar memberi faedah kepada Islam.
Tulisan di atas adalah sedikit sedutan lakaran dan huraian setelah saya menonton filem tersebut.
Justeru, hati-hatilah kita sebelum menonton sesebuah filem samaada berunsur agama ataupun tidak. Bimbang tersalah pertimbangan akal mengundang fitnah lebih besar pula.
Atau, kalian masih mahu berkalung serban wahai wanita?

Rujukan:
Kitab Fatawa Wa Ahkam Lil Mar’aatil Muslimah
oleh Syeikh Athiah Saqr.
 


0 komentar:

Post a Comment